Monday, January 02, 2006

Surat Bantahan atas Laporan Tambahan EIA

Ketua Pengarah
Jabatan Alam Sekitar , Aras 3-7, Blok C4, Parcel C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62662 Putrajaya.
e-mail: hri@doe.gov.my

Tuan/Puan,

Mengapa Projek Insinerator Broga Harus Dipertimbangkan:
Ulasan Ke Atas Laporan Tambahan EIA (Addendum EIA 2005)

Saya, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap alam sekitar dan kesihatan rakyat, ingin membuat ulasan terhadap Laporan Tambahan EIA yang dikeluarkan baru-baru ini. Walaupun adanya sedikit kelebihan memindahkan tapak incinerator ke kawasan lebih rendah dan pamah (200m Tenggara dari tapak asal), akan tetapi masalah-masalah yang dihuraikan di Laporan EIA Terperinci Semenyih/Broga 2003 masih lagi belum dapat diselesaikan.

Misalnya:

1) Tapak insinerator terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan Universiti of Nottingham. Seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Perancangan Tapak Insinerator yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Semenanjung Malaysia 1999 , oleh kerana Insinerator bersekil besar adalah jenis bersepadu di mana sisa pepejal dan sisa-sisa berjadual (toksid) diproses, Insinerator ini perlu ditempatkan jauh daripada orang awam. Jarak perlulah sekurang-kurang 50 km radius daripada kawasan keutamaan pembangunan.

Akan tetapi mengikut Laporan EIA Terperinci (DEIA 2003), terdapat 400,000 penduduk di dalam lingkungan 10km radius darip tapak insinerator. Kawasan perumahan terdekat ialah Taman Tasik Semenyih yang jauhnya hanya 1.99 km dari tapak incinerator. Cadangan projek ini benar-benar bercanggah dengan garis panduan demi keselamatan rakyat yang dikeluarkan oleh JPBD di bawah Kementrian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

2) Tapak insinerator yang baru masih di dalam kawasan tadahan air iaitu di antara Sg Saringgit dan Sg Rinching dan kedua-kedua sungai ini adalah anak Sg Semenyih yang membekalkan air minuman kepada lebih daripada 1.5 juta penduduk di sekitar Lembah Kelang dan Selangor.

Air adalah hak kita semua. Jabatan Alam Sekitar harus memahami kepentingan sungai sebagai sumber air minuman kepada rakyat. Kami juga merujuk kepada janji Puan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar semasa penerangan kepada ketua-ketua kampung di Semenyih pada 2002 iaitu sekiranya kawasan projek insinerator adalah kawasan tadahan air, beliau adalah orang pertama yang akan membatalkan projek tersebut. Di samping itu, Menteri Besar Selangor juga telah berjanji bahawa kerajaan negeri tidak pernah membenarkan sebarang pembangunan di kawasan tadahan air. Oleh itu, kami menyeru Puan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Menteri Besar Selangor menuraikan janji mereka memandangkan laporan EIA telah jelas menunjukkan tapak insinerator yang dicadangkan adalah kawasan tadahan air.

3) Tidak kira projek ini pindah ke mana, ia tetap akan melepaskan berbagai jenis gas semasa operasi loji. Gas-gas ini bukan sahaja merosakkan alam sekitar, ia juga akan membahayakan kesihatan manusia. Menurut Laporan EIA Terperinci 2003, penilaian utama pencemaran udara dari sisa incinerator ialah dioksin. Salah satu bahan kimia yang terkandung dalam dioksin adalah 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioxin (TCDD) yang diketahui membawa kesan-kesan negative terhadap system saraf, pembiakan dan imuniti (daya ketahanan badan). Menurut laporan itu, Agensi Antarabangsa untuk Kajian Barah (IARC) mengklasifikasikan TCDD sebagai Kelas 1 penyebab barah manusia, misalnya barah testis, prostate dan buah dada.

4) Pembinaan insinerator ini masih di sebahagian kawasan cerun yang melebihi 25 darjah meskipun kawasan ini telah dikurangkan dari 9 ha ke 3 ha. Ini adalah bercanggah dengan pengumuman kabinet untuk memberhentikan pembangunan di kawasan cerun yang melebihi 25 darjah.

5) Oleh kerana tiada pusat pelupusan sampah (Landfill) di kawasan berhampiran projek insinerator untuk melupus abu-abu yang bertoksid (Toxic Fly Ash), maka beratus-ratus ton abu bertoksid setiap hari akan di hantarkan ke tempat lain untuk dilupuskan. Abu-abu yang mengandungi berbagai jumlah logam berat dan organic jejak termasuk Dioksin akan membahayakan kesihatan rakyat semasa ia dibawa keluar. Keadaan akan menjadi lebih serius lagi apabila berlaku kemalangan dalam perjalanan.

6) Tapak insinerator berada dalam kawasan pertanian (Agriculture Land) di mana ia merupakan tempat cari rezeki oleh penduduk-penduduk tempatan. Kebanyakan penduduk kampung sini kurang berpelajaran. Oleh itu, menoreh getah dan kerja pertanian seperti berkebun sayur, menternak ayam / ikan dan berkebun buah-buahan adalah satu-satu kemahiran mereka dan pendapatan (Income) mereka adalah di antara RM300 – RM600 sehari. Sekiranya projek ini dilaksanakan di sini, penduduk - penduduk Broga akan kehilangan kerja dan pendapatan harian mereka dan ini turut akan menggangu kehidupan mereka.

Oleh kerana sebab-sebab yang diterakan di atas, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar TIDAK BOLEH meluluskan tapak yang dicadangkan.

Kami mahu pembangunan tetapi kami TIDAK mahu projek yang membawa risiko yang begitu besar dan tidak setimpal dengan faedah yang diberikan. Kami menyeru agar kerajaan mempertimbangkan cara-cara alternatif yang lebih selamat dan sayang terhadap alam sekitar, misalnya recycling dan sanitary landfill. Ini kerana negara kita hanya mengitar-semula kurang dari 3% sampah kita, berbanding dengan Jepun yang megitar-semula 20%.

Sekian, kami berharap Jabatan Alam Sekitar akan utamakan alam sekitar dan kesihatan rakyat.

Yang benar,

Nama :
Tel:

E-mails of Malay papers:

pendapat@utusan.com.my, bh@bharian.com.my, bhnews@bharian.com.my, sazarina@bharian.com.my, bgns@bernama.com.my, farizwan@kosmo.com.my

No comments: